My ZENYUM Braces Part 1: Review, Kos dan Proses Pemakaian Pendakap Gigi Lutsinar

0 day of wearing Zenyum

Antara sebab aku nak review Zenyum ni kerana susah sangat nak jumpa review jujur dari pengguna. Kebanyakan yang aku nampak hanyalah review berbayar, so harapnya nukilan ni dapat membantu you all buat keputusan untuk pilih braces. 
Sebelum aku ceritakan proses pemakaian Zenyum, biar aku ceritakan sedikit sejarah aku, gigi dan braces ni.

AMARAN: Post ini panjang. Pembaca mungkin akan mengalami gejala mengantuk atau kurang faham sewaktu membaca.

KENAPA YANIE PAKAI BRACES?
Aku ni asalnya dari kecil punyai banyak gigi rosak dan susunan gigi yang tak berapa teratur. Mungkin disebabkan tiada peraturan tentang penjagaan gigi di rumah sewaktu membesar menyebabkan aku takde kesedaran.

Walaupun bab penjagaan gigi kurang strict, tapi aku puji ibu ayah aku juga sebab dorang banyak galakkan kami minum susu untuk ‘cantikkan gigi’ katanya hehe (cover line kot ibu terbaca ni). But true enough, xray gigi aku baru-baru ni menunjukkan akar gigiku semuanya panjang-panjang belaka. Tiga doktor yang aku temui untuk cabut gigi bongsu terkejut tengok xray tu. Salah seorang tanya aku sekiranya aku ni banyak minum susu waktu kecik, macam tau-tau pula dia aku ni terlebih kalsium. Tapi... Kenapa akar gigi yang panjang, kenapa bukan ketinggiannnn? Aarghhh! *tarik rambut sendiri*

But in seriousness guys, susu takkan boleh betulkan gigi yang rosak ye.
Aku ingat sepanjang bersekolah di sekolah rendah (darjah 1-3), aku kerap dipanggil oleh doktor gigi untuk sesi cabut mahupun tampal gigi. Mak oii, aku tak boleh bayang macam mana aku yang kecik waktu tu menghadap ngilu dan sakit semasa gigi ditampal tanpa sebarang bius. Yang aku ingat aku terjerit-jerit sakit dan hanya mampu gerak-gerakkan tangan dan kaki minta simpati dengan nurse. Fobia rasa bila nampak nurse waktu sekolah rendah dulu...

Ok, berbalik kepada susunan gigiku yang tak berapa cun dulu, tumbuhnya gigi berlapis ni akibat aku terlalu takut dah nak cabut gigi susu yang dah bergoyang. So bila ada gigi yang dah tak boleh dipakai masih berada di kedudukannya, tak ada ruang untuk gigi baru nak tumbuh, end up dia tumbuh di tempat yang tak sepatutnya (ni teori aku la). 

Waktu umur awal 20-an dulu, gigi taring jadi trademark😂

Anyway, semakin aku membesar, semakin runcing gigi tu membentuk gigi taring yang terkeluar dari landasan. Asalnya aku tak kisah pun tapi lama-kelamaan ia menambah kepada my low self-esteem which I struggled daripada kecik (the struggle is real!). Aku tau ramai je orang lain yang boleh ignore bab penampilan ni and move along kan? Well, good for you but unfortunately, this was my insecurity so I had to do something about it.

BRACES BESI
Disebabkan waktu tu masih belajar di universiti, dengan keadaan kewangan yang tak berapa mengizinkan, aku cari orthodontist (doktor gigi yang boleh buat braces) yang paling murah dan sudi pakaikan braces untuk gigi bahagian atas sahaja untuk kurangkan kos. Waktu tu kos pakai atas sahaja RM2500, bawah RM2500 (total RM5000). So aku pilih untuk buat atas sahaja.

Akhirnya aku dapat juga orthodontist yang sudi buatkan, tapi selepas pakai braces besi di gigi bahagian atas selama 2 tahun, gigi aku tak selurus yang aku harapkan disebabkan gigi bawah tak berapa lurus (gigi atas dok berlaga dengan gigi bawah). 
Waktu bertunang masih pakai braces besi ni dulu. Sambil tengok gambar tu mohon
sedekahkan Al-Fatihah 
kepada makcik sebelah tu ya: Hjh Salmiah Binti Md Yusof, beliau meninggal
baru-baru ni 
akibat Covid-19 😢

So sekarang, setelah dekat 10 tahun tanggal braces besi tu, aku dapati gigi semakin membengkok ke dalam akibat bertahun berlaga dengan gigi bawah, that's why aku mula pakai Zenyum, nak bagi lurus atas dan bawah, aaagitu panjang kisahnya... Ajom kita ke proses pakai Zenyum pula.

PEMERIKSAAN 
Perjalanan Zenyumku bermula dengan kami saling berbalas mesej di Instagram. Dorang memang terus terang bagitau harga so korang jangan risau. Harga in general +/- RM6000, tapi kadang dorang ada sale so jadi lah RM5500+.

Dorang akan minta gambar gigi kita di bahagian depan, sisi dan sewaktu nganga. Korang jangan pelik pula tapi prosedur ini untuk dorang pastikan yang gigi kita ni sesuai atau tidak pakai Zenyum, sebab Zenyum ni hanya sesuai untuk keadaan gigi yang tidak berapa kritikal je. 

Ok, apabila dorang dah dapat gambar tu, dia akan suruh kita tunggu respon daripada pakar gigi dorang, samada kita layak atau tidak pakai Zenyum. Kita akan dapat respon ni dalam beberapa hari. 

KONSULTASI
Apabila korang dah dapat green light daripada pihak Zenyum dan setuju untuk proses seterusnya, Zenyum akan hantar whatsapp untuk tetapkan tarikh appointment bagi prosedur konsultasi dengan klinik gigi terdekat. Klinik mana? Yang ni nanti Zenyum akan bagi list klinik berdekatan korang. 

Konsultasi ni melibatkan xray, pemeriksaan gigi (sedikit scalling jika perlu), ambil gambar gigi dan ambil cerapan gigi. Sekiranya perlu, doktor akan set next appointment untuk tampal / cabut / scalling gigi pada minggu seterusnya.

Memandangkan aku tinggal di area Shah Alam, maka klinik terdekat untuk prosedur Zenyum ni terletak di Kota Kemuning. 
  

Emel yang kita akan terima once selesai membayar deposit
Alhamdulillah doktor klinik ni sangat lembut & supportive, sentiasa menjawab soalan dan paling aku suka- sejenis doktor yang tak promote macam-macam servis kat kita 😂 Bukan apa, takut termakan hasutan hehe.

Untuk sesi konsultasi ni korang kena ready bajet sekitar RM200-250, bergantung kepada keadaan gigi. Kos yang aku tanggung untuk sesi ni dalam RM250 yang mana melibatkan sedikit scalling selain konsultasi Zenyum. 

The week after, aku terpaksa tampal gigi bongsu dengan kos RM100 pula sebab nak pastikan keadaan gigi semua ok sebelum pakai braces. Tapi tak rugi rasanya sebab doktor buat dengan sangat lembut dan indirectly aku berjaya juga rawat gigi yang tak disangka menjadi penyebab sakit gigi selama ni. So overall kos konsultasi termasuk rawatan adalah RM350.

Doktor kemudian akan hantar gambar, xray dan cerapan gigi korang ni kepada pakar gigi di HQ Zenyum (Lokasi: Singapore) untuk pihak Zenyum hasilkan video 3D bagi memberi gambaran tentang hasil terakhir selepas korang pakai braces Zenyum selama 6 bulan. 

Apabila video tu dah siap (lebih kurang 4 minggu kemudian), Zenyum akan emel kepada kita dan sekiranya kita setuju dengan hasil dan ingin teruskan proses berikutnya, kita perlu buat bayaran deposit berjumlah RM14++ untuk proses membuat braces pertama. Once bayaran diterima, pihak Zenyum akan set appointment seterusnya untuk pemakaian braces pertama, yang juga mengambil masa 4 minggu untuk siap. 

Oh bagi anda yang nak tahu, aku ambil pakej bayaran secara ansuran untuk pakai Zenyum ni. Maknanya, setiap bulan aku kena bayar RM7++ selama 5 bulan. Segala kerosakan atau pembuatan semula braces tidak akan dikenakan caj tambahan, melainkan korang sendiri yang rosakkan atau hilangkan. Kalau korang nak bayar full pun boleh, even better.

PEMAKAIAN BRACES



Setelah 4 minggu berlalu maka hari yang dinanti pun tiba. Sesampainya aku di klinik, doktor membuat sedikit scalling (for free, yahuu!) dan tampalkan sebiji ‘attachment’ yang dibuat daripada komposit pada gigiku yang ingin dirawat. 

Dirawat maksudnya di sini ialah gigi yang ingin ditarik keluar agar dapat berdiri gah sederet dengan kawan-kawan dia. Komposit ni berwarna putih so doc nasihatkan supaya sentiasa jaga kebersihan gigi sebab benda ni boleh berubah warna sekiranya kotor. 

Komposit tersebut. Maaf, kurang jelas di sini but that's all you're
getting folks. Nak fokus lebih-lebih tak boleh.


Seterusnya doktor kikis sedikit bahagian gigi agar ada sedikit ruang.

So ini antara perkara yang korang juga perlu sedia maklum. Berbanding pakai braces yang memerlukan gigi tertentu dicabut (mengikut keadaan gigi), pakai Zenyum ni memerlukan gigi dikikis / dipotong sedikit supaya gigi boleh bergerak. Dalam kes aku, doktor kikis dua gigi, tapi tak jelas sangat pun. Cuma nampak macam ada ruang halus antara celah gigi yang terlibat tapi tak berapa ketara.

Dah setel bab tu, doktor kemudian bekalkan aku 15 set braces lutsinar untuk kegunaan sendiri beserta kata-kata nasihat. Harus diketahui, setiap satu set braces perlu dipakai selama 10 hari sahaja dan perlu ditukar pada hari ke-11.

Kenapa banyak sangat braces?
- Sebab setiap braces dibuat menurut progres gigi pengguna yang telah dianalisis oleh doktor pakar di awal konsultasi dulu. Sebab tu korang janganlah mandai skip braces pula ya, nak kesan yang bagus wajiblah pakai menurut turutan braces yang telah disusun.
- Jangan risau, setiap braces telah pun dilabelkan dengan nombor turutan untuk bantu kita kenal pasti yang mana perlu dipakai pada setiap minggu.
- Braces perlu dipakai setiap hari minimum 14 jam untuk kesan yang terbaik.

Kenapa kena tukar setiap hari ke-11?
- Sebab biasanya ia dah mula longgar bermula hari ke-6 dipakai, disebabkan pergerakan gigi. So pemakaian set braces baru umpama braces diketatkan semula. 

Bagi korang yang pernah pakai braces besi dah tentu faham nikmat kesakitan setiap kali ketatkan braces di klinik kan? 2-3 hari makan bubur je, haha I feel you! Bagi pemakai braces Zenyum, berita baiknya adalah ia kurang menyakitkan. Sakit manja setakat 1-2 hari je, seterusnya life as usual. Tapi sebenarnya lagi sakit lagi bagus sebab itu menandakan adanya pergerakan gigi. Ingat ni guys, beauty is pain, nak cantik kena sakit sikit maka nikmatinya hehe.


BRACES BESI VS BRACES LUTSINAR, MANA LEBIH BAIK?
Sebagai pengguna kedua-duanya, berikut perbezaan yang dapat aku rasakan apabila pakai braces besi dan lutsinar yang mungkin korang boleh jadikan rujukan untuk buat keputusan mengikut kesesuaian keadaan korang:


Braces lutsinar Zenyum ni ambil masa sedikit untuk menunjukkan kesannya. Macam aku sendiri, nampak sedikit perubahan hanya setelah pakai braces set ke-9. 

Eh, apsal makin tembam ni...

Dan sekarang aku baru sahaja selesai pakai kesemua set (13 set) normal dan set Zen stage 1 (aku kurang pasti apa fungsi Zen ni). Aku belum pakai Zen stage 2 sebab pihak Zenyum dah tanya sekiranya aku puas hati ke tak dengan hasil pemakaian Zenyum dan sejujurnya aku belum puas hati. Rasa gigi ni masih boleh diperbaiki.

Ok di sini korang kena tahu langkah seterusnya. 
Sekiranya korang dah selesai Zen stage 1 dan berpuas hati dengan hasil yang diperolehi, korang boleh teruskan ke Zen stage 2 (last set) dan pilih untuk pakai Retainer (untuk bantu kekalkan kedudukan gigi). Retainer ni ada kos tambahan, iaitu RM500 dan perlu dipakai seumur hidup.

Dan sekiranya korang belum berpuas hati, korang boleh pilih untuk sesi 'Refinement', iaitu sesi untuk mencantikkan lagi susunan gigi. Tambahan kos sebanyak RM300 untuk dibayar kepada doktor gigi bagi sesi konsultasi kali kedua ni hehe. Nampak tak ada banyak kos tersembunyi di situ? 

So untuk kes aku nampaknya terpaksa lah ke klinik lagi untuk Refinement. Aku baru je set next appointment, harap-harap kali ni hasil lebih memuaskan lah hendaknya.

Nanti dah selesai segalanya aku update lagi di sini buat ke sekian kalinya. Till then, stay safe!

UPDATE: Dah selesai tulis. Boleh baca proses Refinement 

Ulasan

  1. pakai braces ni memang kena berdisiplin. saya pun nak buat jugak nanti. tapi yang besi. heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yeayy all the best and welcome to gigi besi club ya Nik hehe :) Enjoy perjalanan tu nanti

      Padam

Catat Ulasan

Ikuti Saya

What Do You Think?

Artikel Popular